|
Poem Id: 177 |
RUMAH AYAH
Rumah ayah belakangnya ada aliran sungai
Rumah ayah dulunya cuma pondok buruk berzink bocor
Bila hujan kami tadah baldi
Rumah ayah ada air perigi
Rumah ayah
Ayah dirikan dengan titik lelah
Ayah biarkan kami bermain, menangis & ketawa di situ
Ayah tersenyum bila ada kawan yang sudi menjengah
Berbesar hati jika ada yang mahu bermalam
Menikmati indahnya kampung halaman.
Rumah ayah
Di situ kasih bercambah
Bertunjangkan agama
Berpaut kasih sesama saudara
Dan ayah bertambah gigih berusaha
Bila anaknya mempamer potensi untuk berjaya
Rumah ayah
Ada undang-undang tanpa tulisan
Jangan sesekali keluar malam
Anak dara wajib tahu memasak
Anak teruna mari ke bendang membanting tulang
Kalau ada kenduri-kendara jiran tetangga
Seisi keluarga di jemput hadir…
Rumah ayah kini…
Penghuninya bebas keluar masuk tanpa waktu
Pukul 2 pagi baru balik?
Ayah bertanya abang…
Jumpa kawan…jawab abang dan ayah diam
Rumah ayah,
Hujung minggu lengang…
Tiada lagi kunjungan kawan
Mana kakak?
Tanya ayah…
Jumpa kawan di bandar
Kata ibu.
Lelaki ke perempuan?
Ibu terdiam…
Rumah ayah dulu buruk tapi penuh adab dan sopan
Kini dihias indah dengan bunga di laman
Dulu satu bilik kongsi empat
Ayah dah buat 4 bilik seorang satu.
Bilik kakak berkunci
Bilik abang bersepah
KakNgah sekarang di universiti
KakLong ikut suami
Abang merantau dah lama tak kembali
Mungkin akan pulang raya sekali lagi…
Rumah ayah
Anak-anak sudah seperti
burung terbang tinggalkan sarang
Pulang bila tiba musim mengawan
Rumah ayah….
Tiba-tiba adik rasa sunyi dan sepi
Adik dah solat?
Ayah tanya…
Mmmmm belum lagi...
Kalau dulu kata kakak
Ayah akan kata
Ha, tunggu apa lagi!???
Tiba-tiba dengan lembut ayah berkata
Solat la dulu, anak dara tak baik termenung bergini
NUKILAN 2 PAGI
@ID@ 28.03.2008

Close
this page
|
|
|